Custom Search

Kerajaan mahu guna pakai kemahiran penggodam siber

hackers440Kerajaan mahu mendekati penggodam siber bagi lebih memahami dan memanfaatkan kemahiran dan bakat mereka, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
Ini termasuk menghadiri persidangan tahunan pihak tersebut, katanya.
Beliau berkata terdapat juga perkara positif di kalangan penggodam.
"Untuk tujuan ini, CyberSecurity, Majlis Keselamatan Negara, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mesti bersama mereka agar kita dapat mengetahui rangkaian penggodam yang lebih luas.
"Akhirnya kita boleh memahami siapa penggodam yang baik dan jahat. Kita juga boleh mempelajari bagaimana untuk mempertahankan diri kita (dari serangan penggodam)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai jenayah siber di sini pada Selasa.
Menurutnya, terdapat 7,404 kes keselamatan siber direkodkan di negara ini bagi separuh pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 147 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Fadillah berkata berikutan peningkatan jumlah pengguna Internet, isu dan ancaman berkaitan keselamatan siber turut meningkat.
Ini termasuk kejadian seperti spam dan penipuan e-mel, curi identiti, kandungan lucah, malware dan arahan serta kebimbangan baru seperti buli siber, ugutan siber dan ketagihan online, katanya.
"Pada 2009, jumlah kejadian keselamatan siber yang dirujuk ke keselamatan siber Malaysia, Cyber999 meningkat 68 peratus daripada 2,123 kejadian pada 2008 kepada 3,564 kejadian. Pada 2010, peratusannya meningkat sebanyak 127 peratus daripada 3,564 kejadian pada 2009 kepada sejumlah 8,090 kejadian," kata Fadillah.
Bernama melaporkan, Seminar tiga hari tersebut anjuran Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia yang julung kali diadakan memperkatakan tentang aspek perundangan dan teknikal jenayah siber.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Datuk Husin Jazri berkata terdapat pengajaran daripada kejadian serangan penggodam terhadap beberapa laman web baru-baru ini.
Beliau berkata sehubungan itu langkah perlu diambil untuk mendekati generasi muda yang memiliki bakat dan kemahiran siber.
"Kadang-kala golongan muda ini tidak gembira dengan sesetengah isu atau tindakan lalu memilih untuk menggodam, jadi kita perlu mendekati mereka agar mereka dapat menyalurkan ketidakpuasan hati mereka dengan cara yang positif," kata Husin.-5/7/2011

Read more...
Related Posts with Thumbnails

VisitorZ

Community Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP