Custom Search

Anwar hina rakyat

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menganggap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghina rakyat Malaysia kerana mempertikaikan pengiktirafan yang diberi oleh negara luar kepada pembangunan negara.
Dengan nada tegas, Abdullah tidak bersetuju dengan tindakan Anwar yang secara terang menidakkan pengiktirafan terhadap kemajuan yang telah dicapai Malaysia termasuk sebagai sebuah negara Islam moden kepada media asing.
"Kenapa pula (pengiktirafan Malaysia sebuah negara Islam moden) satu penghinaan? Anwar yang sebenarnya menghina rakyat Malaysia.
"Kenapa perlu ada pemikiran begitu? Kita tidak boleh terima kenyataan (Anwar) itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pengiktirafan kampus utama FRIM di Kepong sebagai Tapak Warisan Semulajadi di sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah, Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB), Nancy Shukri dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod.
Anwar dilaporkan berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia pada 15 November lalu dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.
Laman berita The Australian semalam turut memetik Anwar menganggap kenyataan oleh kerajaan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard bahawa 'ini (Malaysia) adalah negara Islam moden yang bagus' sebagai satu penghinaan bagi Ketua Pembangkang itu.
Penghinaan yang disifatkan oleh Anwar itu dipercayai merujuk kepada pengiktirafan Gillard terhadap kemajuan negara semasa melakukan sesi lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar itu semalam hanya menganggapnya sebagai suara sumbang minoriti yang bercanggah sama sekali dengan pengiktirafan para pemimpin dunia terhadap kejayaan Malaysia.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

VisitorZ

Community Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP