Custom Search

Sangkakan bangkai babi hutan, rupa-rupanya mayat gadis

SUNGAI PETANI 11 Ogos - Seorang penoreh getah di sebuah ladang dekat Taman Kelisa Ria, di sini, terkejut apabila mendapati bangkai disangka babi hutan yang ditemuinya, rupa-rupanya adalah mayat seorang gadis disyaki dirogol dan dibunuh secara kejam.
S. Shanmugam, 50, berkata, dia yang menemui 'bangkai' itu kira-kira pukul 10 pagi pada mulanya tidak mengendahkannya kerana menyangka ia babi hutan.
Katanya, namun dia mula mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku apabila melihat dawai dan cawan yang digunakan untuk menadah susu getah di kawasan berhampiran hilang dari pokok.
Dia juga menjadi lebih hairan apabila melihat terdapat kesan semak-samun yang diratakan, selain seretan sesuatu objek beberapa meter dari pokok berkenaan.
"Semasa saya menghabiskan torehan getah pada baris akhir di hujung ladang, saya mendapati dawai dan cawan yang digunakan untuk tadah susu (getah) hilang.
"Saya cuba mencari sehingga jumpa 'bangkai' itu. Mula-mula ingatkan babi hutan sengaja rosakkan cawan dan (kemudian) mungkin mati selepas termakan getah.
"Sebaik sahaja mendekatinya, saya nampak jari manusia dan terkejut apabila sebenarnya ia mayat gadis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis tiba di lokasi sejurus menerima laporan daripada majikan Shanmugam.
Katanya, mangsa yang berusia awal 20-an ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan parah di kepala, selain tangan kiri diikat dengan dawai.
Beliau berkata, mangsa juga mungkin dibunuh 24 jam lalu di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan tersebut.
"Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut.
"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan separuh bogel dengan seluar dalamnya dilondehkan ke paras lutut.
"Berdasarkan penelitian awal, mangsa adalah warga tempatan berdasarkan kesan parut suntikan pelalian BCG," ujar beliau.
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa bersusuk tubuh kecil serta mempunyai kulit sawo matang.
"Kita juga percaya mangsa mungkin berketurunan Melayu atau Siam," katanya lagi sambil memberitahu, polis tidak menemui senjata di tempat kejadian.
Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian," jelasnya.
Hashim meminta ibu bapa yang kehilangan anak gadis mereka supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Supritendan Teh Boon Keong di talian 012-3284837 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

VisitorZ

Community Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP