Custom Search

Perjuangan BeLum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat

dari melihat bangsaku dijajah,

Tidak ada yang lebih menyedihkan dari

membiarkan bangsaku dihina,

Airmata tiada ertinya,

sejarah silam tiada maknanya,

sekiranya bangsa tercinta terpinggir,

dipersenda dan dilupakan,

Bukan kecil langkah wira bangsa

para pejuang kemerdekaan

bagi menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa

selangkah bererti mara mengharung sejuta dugaan

Biar bertatih

asalkan langkah itu yakin dan cermat

bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara,

air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita,

Tugas kita bukan kecil

kerana mengisi kemerdekaan

rupanya lebih sukar dari bermandi keringat

dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan

kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan

mengangguk dan membenarkan kerana

sekalipun bangganya negara

kerana makmur dan mewahnya,

Banngsaku masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita,

kerana rupanya selain memerdekakan,

mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya

bukankah sejak zaman berzaman

mereka menjadi pelaut, pengembara

malah penakluk terkemuka?

Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,

menjadi pedagang dan peniaga,

selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera

menjajah dunia yang tak dikenal

Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau

yang tidak mengenal erti takut dan kematian?

Di manakah silapnya hingga bangsaku

berasa begitu kecil dan rendah diri?

Apakah angkara penjajah? lalu bangsaku mulai

melupakan kegemilangan silam dan sejarah gemilang membina empayar

Tugas kita belum selesai rupanya

bagi memartabat dan memuliakan bangsa

kerana hanya bangsa yang berjaya

akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita

bukan sekadar memerdeka dan mengisinya

tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan

buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku

kerana masa depan kita belum tentu menjanjikan syurga

bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai kerana

hanya yang cekal dan tabah

dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.

Nukilan: Tun Dr Mahathir Mohamad

Mei 1996


0 comments:

Related Posts with Thumbnails

VisitorZ

Community Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP