Custom Search

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek

DR. Soi Lek lapor polis

PETALING JAYA 26 Sept. - Calon Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek (gambar) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam mengenai pengedaran kartun 12 siri yang beliau dakwa memfitnah dirinya.

Katanya, kartun berkenaan yang diposkan ke alamat para perwakilan mendakwa beliau memberikan wang sebanyak RM10,000 kepada setiap perwakilan untuk mendapatkan sokongan pada pemilihan parti bulan depan.

''Kartun berkenaan juga menggambarkan saya sebagai tidak beretika ketika menjadi seorang pengamal perubatan dulu.

''Selain daripada itu, kartun berkenaan turut menuduh saya mempunyai banyak kepentingan dan saham dalam pembangunan Kementerian Kesihatan,'' katanya yang juga bekas Menteri Kesihatan dalam sidang akhbar di kafe Rumahku di sini hari ini.

Jelas Soi Lek, ketika membuat laporan polis semalam, beliau turut memberikan beberapa nama yang berkemungkinan terlibat untuk memburukkan namanya menjelang pemilihan parti.

''Bagaimanapun saya tidak dapat mendedahkan nama berkenaan kerana ia kini dalam siasatan polis.

''Tidak mungkin perkara ini perbuatan orang luar, orang ini mestilah perwakilan MCA juga kerana senarai alamat perwakilan hanya terhad di Sekretariat MCA di ibu pejabat,'' katanya.

Tambah Soi Lek, pihak luar juga tidak mungkin dapat mengakses maklumat terperinci mengenai Kementerian Kesihatan.

''Polis memberi jaminan untuk menyiasat perkara tersebut dan saya bersedia memberikan kerjasama sebaik mungkin.

''Tindakan menyebarkan kartun seperti ini adalah satu penghinaan kepada perwakilan MCA dan ingin saya tegaskan di sini saya tidak pernah memberikan wang kepada sesiapa mahupun sesiapa meminta wang daripada saya,'' katanya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

VisitorZ

Community Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP